Monday, 31 December 2012

Beriman ke kita ni?






Kita buka dengan al-Fatihah.
Semoga ALLAH member petunjuk-Nya kepada kita dan semoga kita dapat menerima petunjuk-Nya.

Semua hendak masuk syurga, atau dalam perkataan lain (in other words) semua tidak mahu masuk neraka. Tetapi, terlalu ramai umat “Islam” yang sudah menempah tiket penginapan “3 hari infinity malam” di neraka tanpa mereka sedari.

Rasulullah s.a.w. pernah bersumpah “Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman … ” dalam HR Muslim dan Ahmad (HR Muslim sahih) . Bermakna, syarat yang paling utama untuk memasuki SYURGA adalah KEIMANAN. Malah, itulah rukun pertama dalam Islam. Menjadi saksi bahawa yang layak disembah hanya ALLAH, dan Muhammad adalah utusan-Nya.

Pernahkah kalian terfikir, mengapa disebut “naik saksi” (Asy-hadu) ? Baiklah, mari kita tengok sebuah cerita untuk memahamkan situasi ini.

Sariq telah masuk ke kelas 2 Thinker pada pukul 6.30 pagi dan mencuri meja guru dari kelas anda lalu dibawa ke mahkamah. Kebetulan, anda berada di kelas sebelah, sedang menyiapkan kerja sekolah Bahasa Melayu yang perlu dihantar pada waktu pertama. Maka, anda menjadi SAKSI kejadian di mahkamah bahawa Sariqlah pencurinya.

Di mahkamah, anda bersuara dengan lantang “Saya menjadi saksi, Sariq mencuri!” ala-ala Detektif Conan versi melayu.Kemudian, pasti anda akan ditanya oleh Hakim “Kenapa kamu menjadi saksi?” . Pasti anda akan menjawab “Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri ketika dia sedang mencuri”. Atau “Saya dengar dia kentut sewaktu sedang mencuri. Tak salah lagi, kentut yang berirama twinkle-twinkle little star itu kepunyaan dia”. Paling tidak pun, “Saya dah pun ambil sample cap jarinya pada meja guru kelas.Nah”.

Sekarang, cuba kalau bila hakim tersebut bertanya soalan tadi kepada kita, kita menjawab “Saya tak tau kenapa saya jadi saksi. Saya ikut-ikut orang je”, atau “saya jadi saksi sebab ayah saya suruh”. Nah, bukankah persaksian itu tidak akan diterima malah diberi percutian 30 hari 30 malam di Tanjung Rambutan setelah diterajang oleh para hakim yang adil lagi bijaksana.

Sekarang, cuba renungkan apa yang kita sebut sekurang-kurangnya 9 kali sehari. “Aku naik saksi tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH … ”. Jika ada perbicaraan di mahkamah antara Imam Mahdi dengan Dajjal, sanggupkah kita menjadi saksi bahawa ALLAH itu adalah Tuhan Yang Esa?

Kalau kita tengok contoh Abu Bakar as-Siddiq, yang dikatakan oleh Rasulullah saw sebagai orang yang paling kental imannya, dia sanggup suarakan kepada kaum musyrikin mekah bahawa dia percaya bulat-bulat bahawa nabi naik ke langit dalam israk mikraj.

Kalau kita kaji, kita akan dapati, salah satu elemen dalam keyakinan beliau terhadap Rasulullah ialah, dia telah mengenali Rasulullah saw sejak kecil sebagai seorang yang tidak pernah menipu. Abu Jahal juga mengatakan bahawa Nabi tidak menipu, namun dia Cuma tidak dapat menerima dengan ajaran baru yang dibawa baginda. Bagi saya, itu sudah cukup bagi Abu Bakar untuk menjadi saksi kepada agama-Nya. Kita pula bagaimana?

Adakah kita mampu naik menjadi saksi sedangkan kita sendiri tidak yakin. Padahal, Allah banyak kali berfirman dalam kitab suci al-Quran bahawa ALLAH telah menunjukkan banyak bukti-bukti kekuasaan-Nya di muka bumi. Tidak cukupkah itu wahai manusia? Allah juga memerintahkan kita untuk memerah akal fikiran untuk mencari bukti-bukti  untuk meng”solid”kan iman kita.

Pertama kali saya memberitahu perkara ini kepada seorang kawan, dia tergelak, “Hehaha, ye ar, bukti-bukti kekuasaan ALLAH tu memang dah berlambak” (atau lebih kurang camtu la). Maka, bukalah al-Quran dan dalami maknanya.Gunakan akal yang diberi sebagai alat pemejal iman seperti yang diperintahkan oleh-Nya.

Mungkin ada yang berkata, “Ade je org yg x de bukti, tapi percaya je kpd ALLAH”
Baik, mari kita tengok perbezaan antara PERCAYA dgn YAKIN, bahawa percaya itu hanya di akal, sedangkan yakin itu di hati (baca : heart, bukan liver). Cuba tengok satu situasi.

Nabi bersabda “Tidak akan berkurang harta kerana sedekah”. Ramai orang dah mengetahui dan percaya akan hakikat ini. Tetapi, mengapa masih ramai yang kedekut tahi hidung masin cicah air laut mati? Masih lagi rasa bahawa harta dia akan habis kalau dia bagi kat orang lain? Haaaa… ya, dia percaya dengan hadith tersebut, tetapi dia belum YAKIN dengannya. Maknanya dia masih ada rasa “Betul ke harta aku ni takkan habis? Betul ke?”.Hesitate - ragu-ragu.

Lagi satu, nabi bersabda dalam sebuah hadith sahih Bukhari dan Muslim “Tidaklah beriman seorang penzina ketika ia sedang berzina, seorang pencuri ketika sedang mencuri, seorang peminum arak ketika sedang minum arak”. Jadi, boleh kita katakan, orang yang sedang melakukan dosa besar itu, imannya sifar sekejap. Tapi, kalau dia mati pada waktu itu, maka matinya dalam keadaan tidak berimanlah. Na’udzubillah.

Kenapa? Kerana orang yang sedang melakukan dosa besar, dia sedang dalam keadaan tidak meyakini atau tidak ingat bahawa ALLAH sedang memandangnya dengan pandangan kemurkaan, dan malaikat sedang mencatat amalannya.

Cuba kita semak diri kita sejenak, berapa kerap kita lakukan dosa besar dalam hidup kita? Mengumpat itu dosa besar. Memaki depan-depan apatah lagi. Mencarut pun tidak kurang bezanya seperti sabda nabi,

“Bukan orang mukmin jika suka mencela, melaknat, dan BERKATA-KATA KEJI”. (HR Tirmidzi)

Jika dia suka atau sering melakukan tiga perkara di atas, bagaimana kesudahan kematiannya? Ulama’ menganalogikan (maaf kalau perkataan ini tidak wujud), lori yang tiap-tiap hari membawa pasir, jika kemalangan maka berteraburlah pasir. Lori sampah yang setiap hari membawa sampah, jika kemalangan maka keluarlah sampah.

Begitu jugalah manusia. Jika dia sering menghadiri majlis-majlis ilmu, in syaa ALLAH matinya dalam berjuang menuntut ilmu. Orang yang mati dalam sujudnya, pasti adalah orang yang selalu bersujud. Ustaz Asri, vokalis utama kumpulan nasyid rabbani, yang perjuangan arwah ialah melalui medium nasyid, dengar kata meninggal ketika dalam latihan perjuangan nasyidnya (al-Fatihah buat arwah). Orang yang suka atau sering melakukan dosa besar pula …

Satu lagi, walaupun mungkin ramai yang sudah tahu, mengenai kefasikan. Fasiq boleh ditakrifkan sebagai orang yang istiqamah melakukan dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Orang yang melakukan dosa besar tetapi enggan bertaubat, juga fasiq.

Contoh kefasiqan : bunuh mengumpat orang setiap hari, dedah aurat setiap hari (kalau tutup, tetapi ketat, tetap dikira dedah aurat) , sakitkan hati kawan setiap hari.

Surah Yunus ayat 33,maksudnya  “Telah tetap ketetapan ALLAH ke atas orang-orang yang fasiq bahawa mereka tidak beriman”. Kata seorg Ulama’ mengenai tafsiran ayat ini, “Allah telah menurunkan tandatangan bahawa orang yang fasiq tidak beriman semuanya”.

Jadi, Mak Bedah yang hobinya mengumpat itu? Kak Siti yang seluarnya tidak pernah longgar itu? Mat Tempang yang kuat mencarut itu? Pak Imam perokok tegar itu?Mat Rempit itu? Bagaimanakah?

Nah,ramaikah yang sebenarnya memenuhi syarat pertama ke syurga, yakni MENJADI ORANG BERIMAN? Kita pula bagaimana? Sudah berimankah kita atau fasiqkah kita?

Maka yakinlah. Tidak cukup hanya dengan “percaya”.

Kuatkan keimanan.Tingkatkan jati diri. Jauhi dosa-dosa. Gunakan akal fikiran yang dikurniakan-Nya.

Takut bukan? Andai kita menjadi golongan yang diceritakan dalam al-Quran, yang bila tiba hari kiamat mereka berkata kepada ALLAH, “Ya ALLAH, Ya Tuhan kami! Kami sudah melihat api neraka-Mu! Kami sudah mendengar jeritan dan teriakan api neraka itu. Maka pulangkanlah kami ke dunia. Kami akan beramal soleh, kerana sesungguhnya kami telah YAKIN!”

Ketika itu, ALLAH menjawab “kalau kami kehendaki, kami beri petunjuk kepada semua manusia, namun telah kami tetapkan bahawa NERAKA ITU AKAN KAMI PENUHKAN DENGAN JIN DAN MANUSIA”. (surah as-Sajdah, ayat belas-belas)

Takut? Bagus. Itu tandanya hati masih hidup. Kalau tak takut, itu yang bahaya. Kalau tak takut, mungkin sekali anda sudah terlalu hampir dengan golongan yang meraung-raung dalam neraka seperti yang diceritakan di atas. Maka bertaubatlah segera. SEKARANG. Kerana mungkin Izrail menjemput sebelum pesanan ini habis dibaca (atau ditulis).

Sekarang, pejamkan mata. Mintalah dengan ALLAH agar kita dijauhkan dari azab api neraka, yang penghuninya memenuhkan perut mereka dengan buah zaqqum, sedangkan seluruh isi bumi akan hancur musnah jika setitis air dari buah zaqqum jatuh ke bumi.

Pejamkan mata sekejap . (Seriously. 10 saat pun jadila)
… … … … ...

Dah?

Semoga ALLAH hidupkan kita dengan iman, mematikan kita dengan iman, dan memasukkan kita ke dalam syurga-Nya dengan Iman.

 Petunjuk itu datang dari ALLAH. Saya hanya alat, perantara. Yang baik itu datang dari ALLAH, yang buruk, tiadalah yang patut dipersalahkan melainkan diri saya sendiri. Kita tutup dengan kafaratul majlis.

P/S (Pesanan Sedikit)
1. bertaubatlah selalu, ALLAH suka
2. Jika anda rasa seolah-olah saya mendoakan orang lain cepat mati (padahal takde pun), yakinlah bahawa kematian itu sudah ditetapkan, tidak mungkin dapat ditunda mahupun dipercepatkan walau sesaat. Jika anda tidak merasakan bahawa MATI ITU DEKAT, anda sendiri yang akan menyesal.

No comments:

Post a Comment